Buku ini ditulis untuk menyingkap beberapa permasalahan penting di dalam ilmu takhrij. Bab pertama adalah membincangkan tentang peranan ilmu takhrij dalam menentukan keabsahan sesuatu maklumat sama ada menepati piawaian ilmiah atau sebaliknya dalam segala bidang ilmu, manakala bab kedua pula mengemukakan cara untuk memperolehi maklumat Ilmu hadith melalui kaedah Takhrij al-Hadith yang merupakan salah satu cabang ilmu hadith yang berbentuk amali atau praktikal bagi ilmu hadith dan mustalahnya. Ia berkait rapat dengan kajian sanad dan matan hadith. Melalui ilmu ini seseorang akan didedahkan dengan pelbagai karya dan sumber utama dalam pengajian hadith.
Seterusnya bab yang ketiga adalah menganalisis secara mendalam tentang metodologi kritik hadith dari segi analisis sanad dengan takhrij al-hadith dan bagaimana kedudukan hadith-hadith yang seolah-olah anti wanita yang didakwa oleh golongan feminisme agar kesalahan-kesalahan dalam menghukumkan kedudukan sesuatu hadith dapat dikesan oleh para pengkaji ilmu agama sehingga tidak menyesatkan khalayak ramai dan bagaimanakah cara memahami hadith-hadith tersebut dengan betul sehingga dapat difahami sesuai dengan maksud syarak dengan tidak mengenepikan hak-hak wanita dalam rumah tangga
Polemik perbezaan pendapat di kalangan ulama masa kini terhadap hukum dan darjat hadith terus dibincangkan dan diperdebatkan. Perbezaan pendapat ini kadangkala membawa kepada dua keadaan penerimaan di kalangan masyarakat atau lebih khususnya penuntut ilmu. Justeru, kertas kerja yang keempat secara khusus akan membicarakan berkenaan polemik polemik di kalangan penuntut ilmu mengenai pertentangan hukum hadith antara ulama mutaqaddimin dan ulama mutaakhirin ataupun mua’sirin terutamanya kepada tokoh ternama dalam bidang hadith.
Perbincangan yang terakhir ini akan membincangkan berkenaan Bank Hadith serta tahap keperluannya di samping situasi pengajaran ilmu Takhrij di Malaysia. Kertas ini juga akan membincangkan pengajian yang membabitkan secara langsung pengajian hadith sama ada di IPTA, IPTS, menengah atau pondok. Penelitian ini dijangka akan dapat membuat kesimpulan tahap kefahaman mereka, kaedah mengatasi mengikut tahap akademik serta menyenarai sebab-sebab yang perlu diatasi bagi menyelamat dan merawat situasi berkenaan demi memelihara kesucian Sunnah Rasulullah. Justeru, buku ini diharapkan dapat memberi maklumat tambahan dan pengetahuan yang berguna dalam bidang hadith diperingkat ijazah pertama mahupun sarjana
Sekian
Latifah binti Abdul Majid
Wan Khalijah binti Wan Jusoh
Wan Nasyrudin Bin Wan Abdullah
Terbitan 2010
Terbitan 2010