
Buku ini adalah kumpulan artikel ilmiah yang ditulis oleh tenaga akademik di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kumpulan artikel ini mengandungi penulisan-penulisan yang membicarakan dan membincangkan beberapa persoalan dan isu-isu di sekitar pengajian al-Quran, Hadith dan Qiraat.
Dalam pengajian al-Quran beberapa isu telah dibahaskan secara kritis seperti konsep hidayah menurut al-Quran. Berpandukan kepada petunjuk ayat-ayat al-Quran, penulis telah menyusun kertas ini dalam empat aspek utama iaitu hakikat hidayah, tingkatan, sebab dan halangannya. Penulis menghuraikan satu persatu aspek tersebut dengan membawa beberapa ayat-ayat al-Quran mengenainya sebagai sandaran. Di samping itu juga peranan dan sumbangan seorang tokoh ulama terkenal di Nusantara iaitu M.Quraish Shihab di dalam pengajian ilmu Islam di dunia Melayu turut diserlah di dalam buku ini. Penulisan ini memperlihatkan bagaimana pendekatan dakwah yang cuba ditonjolkan oleh M.Quraish Shihab berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan sebagaimana yang dijelas dan ditafsirkan oleh beliau melalui kitab Tafsir al-Misbah.